Sejarah Hutan Rekreasi Sungai Udang

Penubuhan Hutan Rekreasi Sungai Udang yang telah diilhamkan oleh Y.A.B. Ketua Menteri Melaka sendiri, telah disempurnakan perasmiannya pada tanggal 26 Jun, 2005. Hutan Simpan Sungai Udang di mana terletaknya hutan rekreasi ini pula telah diwartakan pada tahun 1987 sebagai Hutan Simpanan Kekal dengan keluasan yang masih tinggal kurang dari 200 hektar.

Kawasan hutan simpan ini bersempadan dengan jalan raya utama yang menghubungkan Sungai Udang ke Masjid Tanah di sebelah barat, 96 Depot Pangkalan Peluru (DPP), Kem Masjid Tanah di sebelah utara, kawasan ladang kelapa sawit dan getah di sebelah timur dan Pusat Latihan RELA Wilayah Selatan di sebelah selatannya [1].

Hutan Simpan Sungai Udang ini telah berjaya dikekalkan berkeadaan semula jadi kecuali lebih 80 hektar kawasan yang bersempadan dengan Kem Masjid Tanah telah dikesan berlakunya aktiviti pembalakan haram di sekitar tahun 2000 dahulu. Namun kegiatan tersebut telah berjaya didedahkan pihak media serta mendapat tentangan dan bantahan rakyat yang akhirnya terpaksa diberhentikan.

Kontroversi itu sedikit sebanyak telah membuka mata ramai pihak, bagaimana ceteknya pengetahuan kita terhadap kepentingan memelihara khazanah alam sekitar ini. Khazanah alam yang berusia beratus tahun ini kononnya terpaksa dikorbankan beralasan untuk pembangunan yang sama sekali hanya menguntungkan sebilangan pihak sahaja [2].

Kini usaha-usaha pemuliharaan dan penanaman semula telah giat dijalankan pihak berwajib. Kawasan yang mengalami kerosakan dari jenayah alam sekitar itu kini telah pun ditanam dengan pelbagai spesis hutan beharga seperti Pokok Karas (aquilaria Malaccensis), Pokok Kayu Jati (Tectona Grandis), Pokok Nyatoh (Ganua hirtiflora (Ridley) Van Royan), Pokok Keruing Merah (Dipterocarpus verrucosus Foxw), Pokok Cengal (Neobalanocarpus heimii), dan Pokok Merbau (Intsia palembanica Miq).

Pada tahun 2008, sebanyak RM300,000 telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi meningkatkan lagi kemudahan rekreasi di Hutan Rekreasi Sungai Udang [3][4].

Rujukan

WikiPedia: Hutan Rekreasi Sungai Udang http://202.190.126.84/utusan/info.asp?y=2008&dt=04... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=1... http://maps.google.com/maps?f=q&hl=en&geocode=&q=S... http://allmalaysia.info/news/attraction.asp?id=803... http://www.melakahariini.com.my/mdB1april08.html http://www.forestry.gov.my/hlmlk_sgudang.html http://www.hutanmelaka.gov.my/sgudang.html http://dapmalaysia.org/all-archive/English/2005/ap... https://commons.wikimedia.org/wiki/Category:Sungai...